Bangsa Dan Agama Bukan Penghalang Untuk Bersatu Semula.
Kuala Lumpur: “Perayaan Tahun Baru Cina ini nanti menjadi detik untuk kami merapatkan kembali hubungan selepas hampir tiga tahun terpisah.”
Itu kata Tan Hong Ming, 17, ketika dapat bertemu semula dengan Ummi Khazriena Skhrudin, 17, yang diaturkan oleh Harian Metro selepas rakaman video mereka menerusi iklan Tan Hong Ming in Love untuk Petronas sempena sambutan Hari Merdeka 2007 tular di laman sosial, sejak kelmarin.
Hong Ming berkata, kali terakhir mereka berjumpa pada Ogos 2014 ketika dipertemukan media untuk sesi temu ramah sempena Hari Merdeka.
Tan berkata, dia merancang untuk selalu bertemu dengan Ummi selepas ini termasuk sama-sama meraikan perayaan Tahun Baru Cina serta belajar berkumpulan sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini.
“Saya mahu hubungan yang terjalin sebelum ini menjadi kenyataan. Dulu kami memang rapat dan dia adalah sahabat saya ketika sama-sama belajar di Sekolah Kebangsaan TTDI.
“Saya selesa berkawan dengannya dan mungkin kami sudah membawa haluan masing-masing menyebabkan hubungan itu tidak seperti dulu lagi.
"Apa pun saya cuba mengembalikan keadaan itu termasuk menghubunginya pada setiap hari, selepas ini,” katanya yang juga anak tunggal.
Katanya, dia tidak merancang untuk berlakon pada masa akan datang berikutan mahu fokus kepada pembelajaran serta mengejar impian untuk menjadi arkitek berjaya pada suatu hari nanti.
“Biarpun mendapat sokongan daripada keluarga yang tidak pernah henti memberi semangat untuk saya berlakon semula, saya tidak memandang itu sebagai perkara utama sebaliknya mahu fokus pada pembelajaran,” katanya yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (TTDI).
Sementara itu, Ummi Khazriena yang lebih dikenali sebagai Ryna berkata, dia tidak menyangka dapat berjumpa semula dengan Tan selepas kali terakhir berjumpa pada 2014.
“Saya memang merinduinya sebagai kawan dan sahabat ketika masing-masing menuntut di sekolah rendah lagi. Teruja dapat berjumpa dengannya.
“Dulu kami masih kanak-kanak. Sekarang usia kami sudah memasuki alam remaja,” katanya yang juga pelajar tingkatan lima SMK Seksyen 8, Kota Damansara.
Ryna yang juga meminati bidang pengacaraan dan lakonan berkata, dia juga mahu hubungannya bersama Tan kembali rapat seperti dulu.
“Disebabkan kami sama-sama akan mengambil SPM pada tahun ini, tidak salah jika kami mengadakan pembelajaran secara berkumpulan dengannya dan sama-sama berjaya dalam peperiksaan itu nanti.
“InsyaAllah, kalau tak ada apa-apa aktiviti pada hujung minggu ini saya akan berkunjung ke rumah Tan atau mengadakan makan malam bersama rakan lain bagi meraikan perayaan Tahun Baru Cina ini nanti,” katanya yang juga anak keempat daripada lima beradik.
Katanya, jadual hariannya juga kini sibuk apabila turut terbabit dengan kelas teater di sekolahnya selepas tamat sesi persekolahan.
“Saya memang minat berlakon cuma sekarang ini saya perlu fokus pada pembelajaran dan SPM, tahun ini,” katanya.
Post a Comment