HULU BESUT -  Faizul Mohd Radzali, 29, mencari rezeki agar sembilan daripada 11 adiknya berusia 6 hingga 22 dapat belajar.

Menurutnya, kesemua adiknya seramai 11 orang dan setelah ibu, Gayah Che Ahmad meninggal dunia akibat masalah kesihatan selepas Aidilfitri Ogos tahun lalu, dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka.

“Tahun ini kami adik beradik menyambut hari raya dalam suasana pilu kerana sambutan Aidilfitri kali ini tanpa ibu di sisi kami,” katanya yang ditemui di rumah peninggalan bapanya di Tanjung Alir dekat Kampung Alor Keladi, di sini.

Faizul berkata, bapanya meninggal dunia pada tahun 2013 akibat komplikasi kencing manis dan beberapa masalah kesihatan lain.

“Daripada sembilan yang masih belajar itu, seorang belajar di pra sekolah, dua sekolah rendah dan tiga sekolah menengah sementara dua belajar belajar di Kolej Universiti Bestari Setiu dan seorang belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Sementara dua lagi adiknya perempuannya berusia 23 dan 26 tahun sudah berumahtangga,” katanya.

Faizul berkata, dia bekerja sebagai tukang cat kereta yang diusahakan secara kecil-kecilan selain adik-adiknya menerima bantuan RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ujarnya, sebagai abang sulung, tanggungjawab yang perlu digalasnya amat besar kerana pada masa sama dia perlu menjadi suami kepada Nurain Jamil, 27, dan bapa kepada Aryyan Ibrahim Zikri, 11 bulan.

“Saya berterima kasih kepada isteri saya yang begitu prihatin dan amat mengambil peduli tentang adik saya. Malah pada Aidilfitri dia tidak pulang ke kampung halamannya di Kuala Lumpur demi menguruskan adik saya di sini,” katanya.

Faizul berkata, pada hari biasa hanya tiga adiknya berada di rumah iaitu Muhammad Irfan, 6, Muhammad Aizat, 9, dan Junaida, 11, sementara tiga bersekolah menengah tinggal di asrama Perkaya dan pulang ke rumah dua minggu sekali.

“Alhamdulillah kami mendapat perhatian pelbagai pihak daripada masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin di sini. Orang ramai sering menghulurkan sumbangan kepada kami adik beradik dan dengan sumbangan itulah saya agihkan untuk keperluan adik-adik.

Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan kepada adik beradik ini bolehlah menyalurkan ke akaun Faizul melalui nombor akaun 7614755910 (CIMB).